Tuesday, September 15, 2009

KENANGAN MASJID EHSANIAH ISKANDARIAH

MASJID EHSANIAH ISKANDARIAH (SEMASA AWAL REMAJA KU)


Sekarang kita masih lagi di dalam bulan Ramadhan Al-Mubharak. Banyak kenangan manis yang terlintas di fikiran saya. Kisah di zaman awal remaja yang tinggi perasaan ingin tahunya. Kenangan itu mengalir laju di ruangan mataku apabila melihat semula keindahan masjid EHSANIAH ISKANDARIAH pada hari ini telah disempurnakan kerja-kerja konservasi (mengembalikannya seperti asal semula). Ia banyak membuatkan aku banyak belayar kembali ke zaman silam. Rasanya perlu dicatatkan juga cerita-cerita lama ini untuk tatapan anak-cucu khasnya dan generasi muda Kampung Kuala Dal amnya.


KENANGAN SATU

Dulu .... di tingkat bawah masjid ini dijadikan dewan serbaguna. Di sinilah kelas agama berlangsung. Begitu juga dengan kelas dewasa.sKelas memasak dan menjahit juga di adakann di sini, sebelum bilik kecil untuk kelas kemas dibina di belakang masjid ini. Kalau dalam bulan Ramadhan, di sinilah jamuan MOREY diadakan. Biasanya minuman seperti kopi dan teh yang tidak habis di minum semasa berbuka / sembahyang terawih itu tidak dibuang atau di bawa balik oleh jemaah. Sebaliknya di tinggalkan begitu sahaja di dalam cerek-cerek aluminium yang besar-besar. (Pada masa itu saya rasa cerek itu besar sebab kita kecil).


Pagi esoknya (terutama hari Sabtu dan Ahad) ramailah budak2 kampung (lelaki) yang bermain di masjid ini. Perkara pertama yang dilakukan ialah memeriksa cerek2 ini. Hah! Apa lagi pakat masing-masing pun minumlah kopi dan teh yang ditinggalkan itu....berebut2. Kalau nasib baik ada kudap (kuih-muih). Antaranya kekawan saya tu ...Endam, Mail, Musa, Usop, Nordin, Chiem, Edi , Malik...(hairannya kekawan saya semasa kecil kebanyakkanya lelaki - sebabnya kebetulan pula kawan perempuan yang sekelas dengan saya cuma ada Norsiah Shaari ( lebih dikenali dengan Yah Bitah). Dia pulak tinggal di bahagian hulu kampung...jadi taklah geng nakal2 dekat masjid ni. Ada seorang lagi namanya Timah Mahmud (dengar kabar jadi polis - dah lama tak balik kampung)



KENANGAN DUA

Dulu masa kecil2, aku cukup takut untuk melintasi bersaorangan di depan tangga yang ada kolong tu. Ianya macam ada gua pulak di situ. Lagi takut untuk naik ke tingkat atas masjid seorang diri. Budak lelaki pun takut masuk ke dalam masjid seorang diri kecuali yang hebat2. Kawan2 yang "curi minum" pun masuk ke dalam masjid tu ramai2 atau paling tidak berdua.



Kalau terpaksa melintasi masjid seorang diri...mata liar memandang ke arah tangga dan ke dalam kolong itu.... tak tahu kenapa takut sangat...... Masjid ini macam ada AURA tersendiri ler....




Ketakutan ini mungkin ditambah dengan adanya sepohon pokok Menia yang besar dekat belakang masjid tu. Dahan2nya yang besar menjulai sampai hampir mencecah tanah. Menjadikan kawasan itu agak gelap. Itulah sebabnya kalau aku dah lewat petang balik ke rumah dari rumah Pak Chu, langsung tidak berani lalu di situ. Kalau aku terpaksa lalu juga, maka kena tunggu sehingga masuk waktu maghrib, ketika jemaah mula datang ke masjid, barulah berani melintasinya. Kadang2 Chu Minah temankan aku sehingga melepasi masjid itu untuk balik ke rumah. Itu cerita lama ....dalam kenangan sahaja untuk dikongsikan bersama dengan anak cucu dan generasi muda Kampung Kuala Dal semata2.......


Yang menjadi masalahnya ialah bagi aku terpaksa lalu-lalang di hadapan masjid ini banyak kali dalam sehari. Pertamanya kerana keperluan mandi dan membasuh kain di Sungai Kangsar. Keduanya jalan ke rumah Pak Su Mohammad (bapa saudara) juga lalu di sini. Ketiga setiap dua hari sekali perlu lalu di depan masjid ni untuk pergi menumbuk padi dengan lesung kaki . Lesung kaki tu letakknya di rumah Pak Chu.

Menurut cerita Pak Amin, mereka pernah tidur malam di masid ini. Menurut ceritanya mereka ni tidur di depan mehrab masjid tu. Bila bangun pagi mereka sudah dipindahkan tempat tidurnya dekat dengan tanggga masjid pula. Siapakah yang mengangkat atau mengubahkan tempat tidur mereka ini? Kalau nak tahu cerita lanjutnya kena tanya Pak Amin kerana dia yang kena angkat tu.( dah berumur 78 tahun).

KENANGAN TIGA

Satu perkara wajib yang kami lakukan dalam bulan puasa ialah "MAIN NGANTOR" (MENGHANTAR). Lepas berbuka dan sembahyang magrib, apa lagi adalah aktiviti MAIN NGANTOR . Sekarang permaianan ini telah jumut dari budaya kita. Ianya tidaklah dibuat setiap malam. Biasanya tuan rumah yang menerima barang hantaran ini akan membalasnya kembali secara bersembunyi juga. Jadi berlakulah balas membalas.


Kumpulan yang menghantar akan membawa juadah, kuih muih, lauk-pauk dll makanan ke rumah orang yang hendak di hadiahkan makanan tersebut. Tuan rumah pula tidak tahu. Ianya dibuat secara sembunyi. Apabila pasukan yang menghantar sampai ke rumah yang dituju itu, mereka pun memberi tahu kedatangan mereka dengan cara mengetuk tin2 susu atau buluh. Ada juga yang membakar mercun.

Tuan rumah pun faham dan membuka pintu serta mengambil makanan yang hantar itu tanpa syak wasangka. Apabila tuan rumah buka pintu sahaja maka semua ahli kumpulan yang yang menghantar cabut lari ...mencari tempat untuk menyorok (bersembunyi).


Tuan rumah pula cepat2 buat persiapan untuk menangkap mereka yang datang menghantar ini tadi. Caranya menyediakan bahan lumuran yang dibuat samaada daripada abu dapur dibancuh atau bedak sejuk. Ada juga yang kejam tu gunakan arang kuali yang dicampur dengan minyak kelapa.

Agak2 dalam masa 15 minit atau 30 minit kemudian, pasukan tuanrumah pun turun mencari orang2 yang menghantar tadi. Inilah masa yang paling ditakuti oleh ahli dari pasukan yang menghantar. Sebabnya kalau dapat ditangkap oleh tuan rumah...jenuhlah kena lumur muka dengan bahan2 yang mereka telah sediakan.

Saya juga pernah bermain menghantar ini yang diketuai oleh Mak Nab dengan adik beradik yang lain. Bila kena kejar, kami lari sampai ke kawasan masjid. Sebelum ini saya telah ceritakan tadi, kami bebudak rasa sangat takut berada di sini waktu siang. Inikan pula pada waktu malam. Tetapi kerana hendak menyelamatkan diri dari ditangkap, aku boleh berani menyorok di dalam kolong di bawah tangga masjid itu. Hilang rasa amat takut seperti cerita di atas tadi itu. Itulah penagannya main mengantor ni. Kita akan cuba sedaya upaya supaya tidak ditangkap. Usaha melarikan diri semasa dikejar ini sungguh luar biasa. Cukup takut ... tak kira apa dah....langgar sahaja.... lubang ke...kubur ke.....semuanya tidak ditakuti. Perasaan takut ialah kepada pasukan tuan rumah yang mengejar kita itu. Penting tidak ditangkap dan dilumur dengan abu atau arang. Di akhir acara siapa yang kena tangkap akan dibawa ke tempat terang....Lepas itu kita ditertawakan pula ..... Itulah permainan orang dulu2. Seronok... memang seronok. Sekarang ini permainan menghantar ini sudah jumut. Mungkin generasi saya sahaja yang masih ingat dan ada pengalaman mengenainya.

No comments:

Post a Comment