Friday, May 20, 2011
PENGASAS MASJID IHSANIAH ISKANDARIAH (2)
Tuesday, May 17, 2011
MAJLIS PERASMIAN MASJID IHSANIAH ISKANDARIAH, PADANG RENGAS, PERAK DARUL RIDZUAN. PADA HARI JUMAAT, 2 JAMADILAKHIR 1432H BERSAMAAN DENGAN 6 MEI 2011.
Buluh jenis Buluh Minyak adalah merupakan buluh tebal yang tidak sesuai untuk membuat lemang. Hanya pokok buluh yang cukup matang dan lurus ditebang untuk anyaman kelarai. Batang buluh yang telah ditebang, diikat bersama-sama untuk ditanam di dalam lumpur bagi tempoh kira-kira 6 bulan. ia bertujuan untuk mengawit buluh tersebut dan pada masa yang sama untuk menjadikannya lembut dan mudah dilentur. Maka itu, tidak hairanlah dinding tepas masjid ini masih dalam keadaan baik walaupun telah lama terbiar usang. Setelah itu, buluh akan dibelah untuk menjadi bilah anggaran setengah inci lebar untuk dianyam. Keindahan utama anyaman tepas ini terletak pada jenis corak dan kekemasan anyaman yang dihasilkan oleh sesaorang tukang anyam.
Penggunaan buluh pada bangunan menimbulkan suasana yang sangat alami. Anyaman buluh ini menjadikan ruangan dalaman lebih nyaman kerana ia membebaskan haba panas melalui ruang antara jaringan anyaman. Secara semula jadinya, kelarai buluh ini menjadikan peredaran udara dalam bangunan lebih baik dan segar.
UKIRAN KAYU
Masjid Ihsaniah Iskandariah ini dihiasi dengan ukiran kerawang yang terdapat pada ambang atau kepala tingkap labuh di tingkat atas dan kepala tingkap gantung di tingkat bawah. Pemidang (panel) ukiran kerawang ini dihiasi ukiran tebuk terus tidak bersilat bermotifkan pucuk kacang, bulan sabit serta bintang. Ukiran sulur bayur ini dibentuk separuh bulat seperti matahari terbit sebagai lambang kesegaran dan kemakmuran. Selain kayu kekisi, cucuran bumbung dan panel kemasan papan cantik atau tutup kasau juga berukir dengan pola daun kacang yang menarik. Jenis kayu untuk kerawang adalah dari jenis Kayu Meranti.
Sunday, December 20, 2009
MAJLIS PENYERAHAN BANGUNAN WARISAN MASJID IHSANIAH ISKANDARIAH
KHAMIS - 10 PAGI
Satu lagi sejarah tercipta di Kampung Kuala Dal. Hari ini satu majlis penyerahan Masjid Ihsaniah Iskandariah diadakan. Penyerahan daripada pihak kontraktor iaitu Syarikat Asli Bina Jaya kepada Y Bhg Professor Dato' Zuraina bt Majid, Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara yang kemudiannya menyerahkan pula kepada Tuan Haji Osman bin Musa (wakil AJK Masjid Wahidiah, Kuala Dal).
Kali ini saya entrikan buku program majlis penyerahannya.



Saya mewakili seluruh penduduk Kampung Kuala Dal ingin merakamkan PENGHARGAAN yang tidak terhingga kepada PENGERUSI & AJK MASJID WAHIDIAH KAMPUNG KUALA DAL yang telah berusaha bersungguh mencari jalan untuk membaikpulih semula masjid warisan ini. Jutaan Terima Kasih juga dikalongkan kepada JABATAN WARISAN NEGARA, TERUTAMANYA Y BHG PROFESSOR DATO' ZURAINA MAJID kerana menjayakan aspirasi penduduk Kampung Kuala Dal. Tidak dilupakan juga usaha dan jasa Tn Hj Kamaruddin Hj Hassan yang memainkan peranan penting di dalam usaha murni ini. Hanya Allah jua yang membalas jasa baik kalian.
Sunday, September 6, 2009
MASJID EHSANIAH ISKANDARIAH
Di kampung Kuala Dal ada sebuah masjid yang sangat cantik dan unik. Namanya ialah MASJID EHSANIAH ISKANDARIAH. Masjid ini telah dibina pada tahun 1936, kira2 73 tahun yang lalu. Difahamkan pembinaannya menelan belanja sebanyak RM 8,000. Perasmiaannya telah disempurnaka oleh DYMM Sultan Iskandar Shah. Masjid ini dinamakan sempena nama baginda. Masjid EHSANIAH ISKANDARIAH mempunyai banyak persamaannya dengan Istana Kuning di Bukit Chandan.
Oleh kerana kedudukan Kampung Kuala Dal terletak di pertengahan jalan antara Ipoh dan Pulau Pinang, MASJID UNIK ini menjadi satu tarikan pelancungan. Pada tahun2 60an dan 70an dulu , saya lihat ramai pelancong orang putih datang ke masjid ini dan mengambil gambar. (untuk makluman rumah saya terletak di hadapan masjid itu). Terliur juga kita pada masa itu hendak bergambar...maklumlah mana ada orang kampung memiliki kamera...Tak berani pergi dekat orang putih tu...Jakun jugalah saya masa itu.

Berbalik cerita MASJID EHSANIAH ISKANDARIAH tadi. Bangunannya dua tingkat dan berbentuk empat segi panjang. Masjid ini tidak mempunyai kubah seperti kebiasaan masjid. Ia juga tidak ada "minaret" . Sebaliknya di setiap bucu masjid itu terdapat ruang 4 segi seolah2 menggantikan "minaret". Keunikan masjid ini ialah dindingnya diperbuat daripada anyaman bilah2 buluh atau dipangil tepas, yang dianyam rapi. TEPAS ialah kerja tangan Melayu Perak yang sangat terkenal. Ianya dianyam berbentuk diamond ( geometric diamond-shaped design). Anyaman ini dibuat oleh tukang anak kampung Kuala Dal sendiri. Menurut mak saya mereka tu ialah Panjang Noh, Kulup Ngah dan Ngah Godoh. Anak cucu mereka ini masih ada di kampung ini...
Manakala di tingkat bawah masjid ini digunakan sebagai dewan serbaguna. Di sinilah diadakan majlis berbuka puasa . Disamping itu di sini juga berlangsungnya kelas agama, kelas dewasa, kelas kemas dan juga mesyuarat. Tidak ketinggalan juga menjadi tempat budak2 bermain dan curi2 buka puasa. (Ada kesempatan akan dicerita kemudian nanti).
Masjid ini mula ditinggalkan apabila sebuah masjid baru yang lebih besar dan moden di bina bersebelahan dengannya pada tahun 1976. Semakin hari masjid yang cantik itu terbiar dan reput. Mujurlah pada Disember 2008, pihak KeKkwa telah menyelamatkan warisan ini. TERIMA KASIH BANYAK.
DI HADAPAN MASJID INI.
Sepatutnya projek ini siap Julai lalu tetapi sekarang masih lagi diperingkat akhir. Difahamkan pihak kontraktor sukar mendapatkan bekalan buluh tempatan. Dengarnya bekalan buluh diambil daripada negei Perlis. Disamping masalah mencari tukang untuk mengayam KELARAI tersebut. Akhirnya KELARAI ini berjaya juga diusahakan dengan mendapatkan perkhidmatan orang Asli pada awalnya. Selepas itu semua KELARAI dibuat di Perlis. InsyaAllah masjid ini akan diserah pada lepas Hari Raya Aidil Fitri nanti (mungkin September 2009). Semoga anak cucu kita masih lagi berkesempatan melihat da menikmati warisan budaya dan sejarah datuk-moyangnya.
